Ruang Peribadi vs Ruang Awam

Konsep ruang dalam sesuatu masyarakat dapat dibahagikan kepada dua, ruang peribadi dan ruang awam. Contoh ruang peribadi ialah di bilik, di rumah, di dalam kereta persendirian dan sebagainya manakala ruang awam pula seperti di dalam bas, di pusat beli-belah, di jalan raya. Apa yang ingin dibincangkan pada hari ini adalah mengenai perlakuan yang tidak senonoh dalam kedua-dua kategori ruang tersebut.

Terdapat sebuah kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai G25, mengatakan bahawa perbuatan yang tidak senonoh yang dilakukan dalam ruang peribadi seharusnya tidak dicegah kerana mereka berkata bahawa perlakuan tersebut adalah urusan antara mereka dengan Tuhan sahaja,

Noor Farida Ariffin mengatakan bahawa “dosa peribadi” daripada perlakuan khalwat adalah urusan antara pasangan tersebut dengan Tuhan dan menahan mereka adalah “bercanggah dengan Islam”. [1]

G25 menyatakan bahawa menahan mereka yang berkhalwat atau apa-apa  jenis perlakuan yang tidak senonoh yang dilakukan dalam ruang peribadi adalah bercanggah dengan Islam. Barangkali G25 merujuk kepada ayat al-Quran yang berikut:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” [Surah Al-Hujurat 49:12]

Ayat di atas merupakan ayat yang mengatakan “jangan mengintip”, maksud istilah ini dalam konteks ayat Quran tersebut melarang kita untuk mengintip perlakuan ataupun kehidupan peribadi seseorang. Ya, G25 memang betul dan pendapat mereka tepat sekali dalam hal ini(mengintip). Walau bagaimanapun, terdapat satu istilah dalam bahasa Arab untuk kenyataan seperti ini, iaitu “كلمة الحق اريد بها باطل” (Kalimah al-haq ureedu biha batil) yang bermaksud kenyataan yang benar tetapi dengan niat yang buruk.

Maka, bagaimanakah sesuatu perkara atau kenyataan itu benar tetapi sebenarnya membawa niat yang buruk? Niat G25 untuk menghalalkan khalwat sebagai dosa peribadi yang dilakukan dalam ruang peribadi, kelihatan lebih menggalakkan perbuatan tersebut daripada mencegahnya. Malahan, mereka melakukan falasi strawman, iaitu memutarbelitkan sesuatu kenyataan atau hujah dan menggunakan kenyataan versi itu sebagai hujah mereka.(dalam hal ini, ayat Quran di atas telah diputarbelitkan, dari segi maksud “jangan mengintip” itu)

Jabatan Agama Islam Negeri(JAIN) yang melakukan serbuan maksiat bukannya dilakukan atas dasar pengintipan. Orang-orang yang diserbu itu tidak diintip sebelum serbuan tersebut, tetapi dilaporkan oleh pihak ketiga yang merasakan sesuatu yang tidak kena dan mereka berkelakuan dengan cara yang sangat dicurigai. Jika pasangan tersebut ternyata telah bernikah, maka tiada tindakan akan dilakukan, jika sebaliknya, maka mereka akan ditahan.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas urusan hal-ehwal Islam,

“Ianya(serbuan maksiat) dilakukan berdasarkan aduan oleh pihak suami, isteri ataupun jiran. Kadang-kala, jiran melihat sesebuah rumah itu sering mempunyai tetamu (yang mencurigakan). Maka mereka membuat aduan untuk memastikan sebarang perlakuan yang tidak senonoh tidak dilihat oleh kanak-kanak.” [2]

Asas dakwaan mereka (G25) sangatlah rapuh, mereka melakukan tuduhan dek kejahilan mereka tanpa mempedulikan sebarang kesahihan atas pendapat mereka mengikut disiplin ilmu Islam. Oleh itu, satu persoalan yang baru timbul pula, apakah niat mereka sebenarnya dengan tindakan mereka yang menghina jabatan-jabatan agama ini? Untuk menggalakkan/menghalalkan maksiat? Ataupun untuk menghapuskan jabatan-jabatan yang menguatkuasakan syariah dalam negara ini?

Segala tindakan dinilai atas niat untuk tindakan tersebut. Bagaimanakah mereka yang mempunyai niat yang tidak lurus ini menggelar diri mereka sebagai “menonjol” ini?

Rujukan.

[1] G25: Khalwat a “personal sin”, not a crime, daripada http://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2015/12/07/g25-khalwat-a-personal-sin-not-a-crime/ Jan 27, 2016

[2] ‘Religious authorities act on complaints, not their own’, daripada http://www.therakyatpost.com/news/2016/01/11/religious-authorities-act-on-khalwat-complaints-not-on-their-own/ Jan 27 2016