Negara Islam yang Sebenar

Dalam beberapa tahun yang terdekat ini, konsep negara yang menguatkuasakan hukum fiqh Islam yang lebih dikenali sebagai  (un)Islamic State of Iraq and Syria ataupun lebih dikenali dengan singkatannya “ISIS” telah muncul. Konsep negara Islam yang dibawa oleh ISIS ini telah dilabel sebagai sesat dan tidak menepati hukum syarak dan hukum fiqh dalam Islam.

Sebagai contoh, laman sawang http://www.lettertobaghdadi.com telah diiktiraf oleh beratus-ratus ulama’ Islam yang menentang perjuangan ISIS. Dalam erti kata pendeknya, ISIS tidak mewakili Islam dalam apa-apa bentuk cara pun meskipun mereka mendakwa bahawa mereka memperjuangkan Islam. Jika ISIS tidak mencerminkan Islam maka siapakah yang mewakili Islam?

Kita akan membincangkan ciri-ciri negara Islam(Islamic State atau Daulatul Islamiyah) yang sebenarnya dan bukannya seperti apa yang digambarkan oleh media massa. Rujukan utama dalam menentukan hukum Islam adalah Quran dan Hadith. Walaupun terdapat sumber-sumber yang lain tetapi kita akan hanya membincangkan 2 sumber utama tersebut sahaja untuk penjelasan yang ringkas dan mudah difahami.

Sebagai permulaan, tidak terdapat dalam al-Quran satu klausa pun yang membolehkan untuk membunuh orang awam sesuka hati tanpa sebarang perbicaraan mahupun sekadar berasaskan tuduhan semata-mata. ISIS melakukannya secara meluas tetapi dalam artikel ini kita tidak akan membincangkannya secara terperinci, tindakan-tindakan tersebut sekadar disebut untuk menunjukkan pendirian kami yang menentang sebarang bentuk ekstrimisme dalam agama.

Maka sekarang persoalannya adalah, apakah rupa negara Islam yang sepatutnya? Secara asasnya, contoh yang terbaik telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad S.A.W., oleh itu untuk menjadi yang terbaik, kita perlu meneladani apa yang diajar oleh baginda S.A.W.. Jika difikirkan tentang kesesuaian ajaran yang diturunkan 1400 tahun yang lepas dengan zaman sekarang serta adakah ianya pragmatik, itu kami biarkan untuk para pembaca membuat keputusan sendiri.

Oleh sebab terdapat pelbagai isu yang harus dihadapi oleh mana-mana negara, kita hanya akan membincangkan satu isu, iaitu pendidikan. Dalam Islam, adalah menjadi kewajiban untuk seorang Muslim untuk mencari ilmu. Tahu bagaimana untuk membaca, menulis dan mengira adalah kemahiran yang paling asas sekali pada zaman ini.

Akan tetapi, kemahiran asas tersebut adalah tidak mencukupi dalam sesebuah negara Islam. Usaha dalam pendidikan bukan sahaja harus melangkaui skop kecelikan huruf yang paling asas seperti yang disebutkan di atas tetapi diterajui dalam bidang penyelidikan dan pembangunan juga. Yang mana usaha tersebut dapat dilihat dalam usaha kerajaan untuk menyediakan kualiti pendidikan yang terbaik kepada mereka yang layak. Kelayakan dalam konteks ini adalah terbuka kepada perbincangan.

Selepas Perang Badar, terdapat segelintir tawanan perang yang celik huruf dan hukuman ke atas mereka adalah untuk mengajar kanak-kanak Muslim untuk menulis dan membaca. Kita dapat lihat penekanan yang telah diberikan terhadap kepentingan pendidikan pada zaman tersebut, apatah lagi kepentingan pendidikan pada zaman ini. Kita hanya mampu untuk mengikuti contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah S.A.W..

Jika sesebuah negara Islam itu diperintah dengan hukum-hukum Islam, pendidikan masyarakat negara tersebut sepatutnya merupakan tanggungjawab kerajaannya. Berbicara mengenai tanggungjawab sesebuah kerajaan dalam sebuah negara Islam pula, tanggungjawab sebuah kerajaan juga merangkumi, tetapi tidak hanya terbatas kepada penjagaan kesihatan, perumahan dan juga makanan.

Walau bagaimanapun, pada hari ini jika seseorang itu mendengar tentang negara Islam, sebenarnya mereka merujuk kepada negara yang (tidak) Islamik (yakni ISIS) yang sering melakukan keganasan di Iraq dan Syam serta di seluruh dunia. Sebuah negara Islam bukannya hanya sepatutnya memberi manfaat kepada rakyatnya dari segi pendidikan, perumahan dan kebajikan tetapi juga dalam ketelusan pemerintahan negara tersebut.

Melakukan keganasan dan membunuh sesiapa sahaja bukanlah sebahagian daripada Islam dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai sebahagian daripada Islam. Islam membawa keadilan, kebajikan, dan belas kasihan sebagai cahaya dalam dunia yang penuh dengan kegelapan ini.

Adalah kelihatan mustahak agar usaha-usaha di atas diwujudkan dalam zaman moden ini di mana kapitalis mengekploitasi setiap insan hingga ke titisan darah yang terakhir demi kepentingan mereka sendiri.

Wallahu’alam.

Rujukan

[1] The Islamic Welfare State and its Role in the Economy, M. Umar Chapra, The Islamic Foundation, Leicester, UK, ms 11

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedintumblrmail

youtube