Kehendak Tuhan vs Keizinan Tuhan

Pada bulan September yang lalu, terdapat satu kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang tokoh terkenal iaitu bekas CEO syarikat penerbangan MAS(Malaysia Airlines), Idris Jala ketika beliau berucap di sebuah konferens yang bertajuk “Nation Building, Unity and the Malaysian Dream: Yesterday, Today and Tomorrow”(Pembangunan Negara, Kesatuan dan Impian Malaysia) di Institute Integrity Malaysia pada 16 September yang lepas.

Beliau mengimbas kembali  kisah-kisah lama beliau ketika masih berkhidmat di MAS dahulu di sebuah dewan bandar, dan beliau menceritakan cerita berikut,

“Lelaki ini berdiri semasa sesi Q & A dan berkata kepada saya,

‘Boss, kita adalah sebuah negara Islam, Malaysia Airlines adalah syarikat penerbangan nasional. Kenapa kita menghidangkan alkohol dalam pesawat sedangkan Brunei dan Arab Saudi tidak berbuat demikian? Jangan berikan alasan kerana ada pelanggan yang mahukan. Saya mahu jawapan dari segi agama daripada anda,’

Idris berkata, beliau mengambil mikrofon dan memberitahu lelaki itu bahawa beliau akan memberikan jawapan dari segi agama tetapi mahu lelaki itu menjawab dua soalan pertamanya.

“Saya bertanya kepadanya, ‘Adakah kamu percaya bahawa Tuhan Maha Berkuasa, dan dia boleh berbuat apa-apa yang dia mahukan dengan Kuasa-Nya? Lelaki itu membalas ‘Ya’.

“Kemudian saya bertanya kepadanya lagi, ‘Adakah anda percaya bahawa Tuhan tidak sukakan dosa dan tidak sukakan alkohol?’ Dia sekali lagi menjawab ‘Ya, Tuhan tak suka alkohol’.

“Saya berkata, ‘Jika anda berkata Tuhan Maha Berkuasa, tidak suka dosa, mengapa Dia tidak menggunakan kuasanya utuk menghapuskan dosa dan alkohol?’.

“Dan saya memberitahunya saya akan memberikan jawapan itu dan saya berkata, ‘Ia adalah kerana Tuhan adalah Tuhan yang Maha Adil, Dia memberikan kita kebebasan untuk memilih berbuat dosa atau tidak, minum atau tidak dan itu adalah konsep Tuhan.

“Jika anda fikir bahawa Tuhan hanyalah mempunyai kuasa semata-mata, maka Dia hanyalah ada kuasa. Dia akan gunakan kuasanya untuk menghapuskan semua dosa. Maka kita semua tidak akan membuat dosa tetapi Tuhan bukanlah Tuhan yang memaksa orang,” katanya. ”

Perbualan menarik itu menerima tepukan gemuruh dari kakitangan MAS termasuklah lelaki yang bertanyakan soalan itu tadi.[1]

Mari kita meneliti persoalan pertama bahawa Tuhan Maha Berkuasa dan boleh berbuat apa-apa sahaja yang dikehendaki-Nya; kenyataan ini benar sama sekali. Walau bagaimanapun, Tuhan tidak melakukan perkara yang tidak layak bagi status-Nya sebagai Tuhan. Sebagai contoh, Tuhan tidak perlu untuk makan, tidur atau pun ke tandas kerana hal ini adalah bertentangan dengan sifat Tuhan.

Persoalan kedua pula mengenai Tuhan tidak menyukai alkohol yakni arak.Dalam kes ini, kita perlu timbulkan persoalan bahawa bagaimanakah kita tahu bahawa Tuhan tidak menyukai arak ataupun tidak? Kenyataan oleh Idris Jala yang mengiyakan bahawa Tuhan tidak menyukai alkohol sendiri adalah berfalasi. Beliau keliru antara kenyataan “Tuhan tidak menyukai hamba-hamba-Nya untuk minum arak kerana ianya merupakan dosa di dunia ini” dengan “Tuhan secara hakikinya tidak menyukai arak sama sekali”; kedua-dua kenyataan ini mempunyai maksud yang hampir sama tetapi membawa maksud yang sangat berlainan. Hanya kerana Tuhan melarang manusia untuk meminum arak di dunia ini tidak semestinya bermaksud bahawa Tuhan membenci arak.

Seterusnya pula tentang kesimpulan yang dibuat dengan premis yang berfalasi di atas ,”Jika anda berkata Tuhan Maha Berkuasa, tidak suka dosa, mengapa Dia tidak menggunakan kuasanya utuk menghapuskan dosa dan alkohol?” Tuhan tidak menyukai pembunuh, perogol, perompak dan lain-lain(hal ini ada disebut dalam al-Quran bahawa Tuhan tidak suka orang-orang yang zalim); adakah Tuhan menghapuskan mereka dari muka bumi ini meskipun Tuhan tidak menyukai mereka?(yang berbuat zalim). Maka, jika Tuhan tidak berbuat demikian adakah itu bermakna tidak apa jika mereka terus melakukan apa-apa sahaja yang mereka ingin lakukan kerana Tuhan mengizinkannya untuk berlaku; di mana hal ini tidak semestinya bermaksud bahawa ini merupakan kehendak Tuhan?

Jika kita pergi dengan lebih mendalam lagi, mengapa pula Tuhan yang Maha Baik membenarkan kejahatan berlaku di muka bumi ini? Dengan logik yang sama, hanya sebab kejahatan wujud di dunia ini, adakah ianya memberi makna bahawa inilah yang dikehendaki oleh Tuhan dan bukannya sekadar tindakan Tuhan yang membenarkan atau mengizinkannya untuk berlaku? Adakah dengan hujah ini kita boleh melakukan apa-apa sahaja kejahatan yang kita inginkan di muka bumi ini atas alasan ianya merupakan kehendak Tuhan?

Tuhan telah menciptakan dunia ini sebagai satu ujian bagi manusia, manusia akan melakukan kejahatan dan terpulang kepada mereka yang memegang kuasa untuk mendatangkan keadilan dalam masyarakat. Pemimpin yang berkuasa dalam sesuatu masyarakat tidak boleh membiarkan pembunuh untuk terus membunuh, perogol untuk terus merogol; hal ini adalah tidak adil untuk membiarkan kejahatan ini semua untuk terus berleluasa.

Arak wujud tetapi bukannya wujud untuk terus diminum oleh manusia. Arak wujud sebagai satu ujian bagi manusia, untuk menguji sejauh manakah manusia boleh menahan diri daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Tuhan. Hal ini juga sebagai ujian untuk melihat adakah manusia meletakkan Tuhan dahulu ataupun nafsu mereka.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” [Surah Al-Mai’dah 5:90]

“Dan janganlah kamu mabuk oleh anggur[yakni arak], karena anggur menimbulkan hawa nafsu, tetapi hendaklah kamu penuh dengan Roh,” [Ephesians 5:18]

Tuhan memang mengharamkan arak tetapi ianya wujud sebagai ujian bagi umat manusia. Mari pula kita pergi ke konklusi kedua yang dibuat oleh beliau,

“Dan saya memberitahunya saya akan memberikan jawapan itu dan saya berkata, ‘Ia adalah kerana Tuhan adalah Tuhan yang Maha Adil, Dia memberikan kita kebebasan untuk memilih berbuat dosa atau tidak, minum atau tidak dan itu adalah konsep Tuhan.

“Jika anda fikir bahawa Tuhan hanyalah mempunyai kuasa semata-mata, maka Dia hanyalah ada kuasa. Dia akan gunakan kuasanya untuk menghapuskan semua dosa. Maka kita semua tidak akan membuat dosa tetapi Tuhan bukanlah Tuhan yang memaksa orang,” katanya. “

Hanya sebahagian daripada kenyataannya ini yang benar; apabila beliau berkata “Dia memberikan kita kebebasan untuk memilih berbuat dosa atau tidak”, kenyataan ini adalah tepat tetapi bukankah lebih baik jika kita memilih untuk berhenti berbuat dosa daripada terus melakukan dosa? Tuhan memberikan kita kebebasan untuk memilih tetapi bersekutu dalam perbuatan dosa juga mempunyai akibatnya yang tersendiri.

Seterusnya pula, beliau berkata bahawa jika Tuhan Maha Adil dan Maha Berkuasa, Dia akan melenyapkan segala dosa dan menjadikan manusia tidak mampu untuk melakukan sebarang dosa. Persoalannya di sini apakah yang dimaksudkan oleh Idris Jala dengan istilah “jika”? Adakah konsep  Tuhan bagi beliau bermaksud bahawa Tuhan bukannya Maha Adil? Seperti yang disebutkan tadi, Tuhan membiarkan sesuatu perkara itu wujud di muka bumi ini sebagai ujian bagi manusia seperti firman-Nya:

“…dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” [Surah al-Baqarah 2:216]

dan

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” [Surah Al-‘Ankabut 29:2-3]

Tuhan sudah pasti akan menguji orang-orang yang mengaku bahawa mereka beriman kepada-Nya. Natijah yang dibuat “… tetapi Tuhan bukanlah Tuhan yang memaksa orang” merupakan falasi non-sequitur, yang mana membawa maksud natijah beliau ini tidak mengikut logik hujah yang sebelumnya. Apa kaitan Tuhan memaksa orang dengan melakukan perbuatan dosa? Manusia melakukan dosa kerana Tuhan mengizinkan mereka untuk melakukan dosa tetapi bukannya kehendak-Nya untuk manusia melakukan dosa.

Sekiranya memang kehendak Tuhan bagi manusia untuk melakukan dosa maka betullah bahawa Tuhan bukannya Maha Adil. Walau bagaimanapun, Tuhan merupakan Maha Adil dan hanya bersikap adil terhadap semua orang,

“Bukankah Allah (yang demikian kekuasaanNya) seadil-adil Hakim?” [Surah At-Tin 95:8]

Terdapat perbezaan yang halus dari segi maksud antara kehendak Tuhan dengan keizinan Tuhan, jika Tuhan mengizinkan atau membenarkan sesiapa sahaja melakukan dosa bukannya bermaksud itu kehendak-Nya. Jika Tuhan berkehendak, kita semuanya akan dijadikan orang-orang yang beriman,

“…Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh)…” [Surah Al-Ma’idah 5:48]

Oleh itu, terdapat perbezaan antara apa yang Tuhan inginkan dengan apa yang Tuhan benarkan atau izinkan untuk berlaku, pengizinan-Nya tidaklah bermakna bahawa Dia menyukai perkara yang diizinkan itu, tetapi hanya sebagai ujian bagi orang-orang yang mendakwa dirinya beriman.

Rujukan:

[1] WHY ARE WE SERVING ALCOHOL ON OUR PLANE? – FORMER MAS CEO IDRIS JALA SHARES ANECDOTE ON RELIGION AND ALCOHOL, diambil daripada http://www.malaysia-today.net/why-are-we-serving-alcohol-on-our-plane-former-mas-ceo-idris-jala-shares-anecdote-on-religion-and-alcohol/ Rabu 14 Oktober 2015

[1] Idris Jala recalls ‘religious debate’ over MAS’s alcohol policy, diambil daripada http://www.themalaysianinsider.com/malaysia/article/idris-jala-recalls-religious-debate-over-mass-alcohol-policy Rabu 14 Oktober 2015