Hukuman untuk kecurian

Hukuman ke atas kesalahan mencuri mengikut hukum syariah ialah tangan si pencuri tersebut dipotong. Pada mulanya, hal ini akan kelihatan agak keterlaluan. Kalau sang tertuduh tersebut mencuri kerana dia dan keluarganya kebuluran dan tidak terdapat cara lain untuk mendapatkan makanan, adakah tangannya masih akan dipotong juga? Sudah pasti kes ini dikira sebagai satu kezaliman jika tangan pencuri tersebut dipotong hanya sebab untuk mendapatkan makanan kerana kebuluran.

Bagaimana pula jika seseorang itu mencuri wang untuk kegunaan perubatan? Seperti mana yang kita sedia maklum, kos untuk rawatan kanser adalah sangat-sangat tinggi. Maka, jika seseorang ini berbuat demikian hanya untuk membiayai kos rawatan tersebut demi kelangsungan hidup, bagaimana pula kes ini akan diadili oleh hukum syariah?

Seterusnya, dalam hukum syariah, tidak wujud bukti fizikal tetapi hanya 4 orang saksi dan/atau pengakuan, maka bagaimana pula caranya untuk seseorang hakim itu menjatuhkan hukuman jika kriteria di atas tidak dipenuhi tetapi terdapat bukti seperti rakaman video? Hal ini kelihatan akan menjadi semakin rumit dan oleh sebab hanya saksi atau pengakuan yang diterima, maka akan kelihatan seperti penjenayah-penjenayah tidak boleh dihukum jika tidak menepati syarat-syarat di atas. Adakah sistem sebegini benar-benar pragmatik?

Ideologi ataupun falsafah di sebalik hukum syariah adalah sebenarnya untuk mencegah, dan bukannya untuk menghukum semata-mata. Nabi Muhammad S.A.W. bersabda:

“Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud daripada muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), lebih baik daripada yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah).” [riwayat Ibnu Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424]

Secara asasnya, hukum syariah bertujuan untuk mendidik dan mencegah, dan bukannya untuk membiarkan jenayah berlaku dan baru menghukum. Tahap hukuman yang dijatuhkan sepatutnya mengelakkan orang ramai daripada melakukan jenayah, dan jika hukum syariah tersebut tidak mencegah, sama ada orang tersebut memang sangat terdesak sehingga dia sanggup melakukan jenayah tersebut ataupun dia memang merupakan seorang penjenayah yang hati kering. Perlunya kita mengenal pasti apakah tujuan jenayah tersebut dilakukan sebelum hukuman boleh dijatuhkan.

Seperti yang dilakukan oleh khalifah Umar Bin al-Khattab, beliau tidak menghukum hamba yang mencuri demi makanan, sebaliknya Umar menjatuhkan hukuman terhadap tuan kepada hamba tersebut untuk membayar dua kali ganda nilai yang dicuri sebagai denda kerana membiarkan hambanya itu kelaparan. Apakah yang dicuri oleh hamba tersebut? Seekor unta betina.

Kepada kita yang hidup di bandar-bandar pada abad ke-21 ini(kecuali yang bekerja dalam industri ternakan unta), mungkin tidak kita fahami apakah signifikannya seekor unta betina itu. Secara asasnya, unta betina ini merupakan satu sumber pendapatan yang sangat penting, unta tersebut boleh melahirkan anak(maka bilangan unta bertambah ataupun boleh dijual apabila dewasa), boleh memberikan susu. Maka, pada zaman itu, seekor unta betina adalah sangat-sangat bernilai.

Berikut merupakan peristiwa yang membawa kepada keputusan yang dilakukan oleh Umar bin Al-Khattab:

….beberapa hamba dari Hatib telah mencuri seekor unta betina yang dimiliki oleh seorang lelaki dari bani Muzayna dan mereka telah sembelihnya(unta tersebut). Maka perihal ini telah dibawa kepada Umar ibn al-Khattab, dan Umar memerintahkan Kathir ibn as-Salt untuk memotong tangan mereka. Dan Umar berkata kepada Hatib,”Aku rasa pasti engkau telah membuatkan mereka kebuluran”, dan dia berkata lagi,”Demi Allah! Akan aku membuatmu membayar denda yang amat-amat berat bagimu.(dan menarik semula hukuman potong tangan ke atas hamba-hamba tersebut)” Dia bertanya kepada lelaki dari bani Muzayna itu, “Berapakah harga untamu ini?” Lelaki Muzayna tersebut berkata,”Demi Allah, aku enggan menjualnya dengan 400 dirham.” Umar berkata, “Berikan(denda kepada)nya(denda kepada Hatib) 800 dirham”…

[Muwatta’ Malik Buku 36 Hadith 38]

Seperti yang kita dapat lihat, Umar tidak menghukum pencuri-pencuri tersebut tetapi sebaliknya meletakkan denda yang amat besar kepada tuannya. Hal ini dalam dunia moden pada hari ini, adalah gaji minimum, gaji yang diperlukan untuk seseorang agar dapat menyara keluarganya dan melaksanakan tanggungjawabnya. Apakah nilai gaji minimum yang sepatutnya tidak akan dibincangkan di sini kerana hal tersebut merupakan isu yang lain daripada apa yang ingin dibincangkan dalam artikel ini.

Dengan dua hadith yang dibincangkan di atas, adalah jelas bagaimana hukum hudud harus diimplementasi dan dijalankan pada zaman ini. Persoalan yang pertama(jika seseorang itu mencuri kerana kebuluran) telah pun terjawab dengan peristiwa Umar yang disebut di atas.

Mencuri kerana kebuluran(bukannya mencuri hanya sebab lapar tetapi mampu untuk membeli makanan) adalah tidak terhukum dari segi hukum syariah dan sepatutnya tidak dihukum di bawah mana-mana undang-undang juga. Nyawa merupakan aspek yang kedua terpenting dalam maqasid syariah, maka nyawa perlu dilindungi. Jika seseorang rakyat tersebut tidak mampu untuk menanggung dirinya untuk sesuap nasi maka tanggungjawab tersebut akan terletak di atas bahu kerajaan.

Artikel ini hanya membincangkan preteks hukuman dari segi syariah dan bukannya tanggungjawab kebajikan rakyat oleh negeri mahupun negara, kita akan bincangkan isu ini pada kemudian hari. Mari kita lihat persoalan kedua pula(mencuri untuk membiayai kos perubatan ataupun ubat), kita tahu sesetengah kos rawatan boleh mencecah harga yang sangat tinggi. Nilai wang ataupun benda yang dicuri juga boleh mencapai harga yang melangit(demi membayar kos tersebut), tetapi jika orang tersebut tidak mampu untuk membiayai kos perubatannya maka apa yang harus dia lakukan?

Sekali lagi, maqasid syariah menjadi rujukan kita, kali ini juga untuk menjaga aspek nyawa. Kerajaan seharusnya memikul tanggungjawab tersebut untuk memelihara nyawa rakyat-rakyatnya. Hanya dengan 2 kes ini, kita dapat lihat sifat kebajikan yang dimanifestasikan dalam sebuah negara yang diperintah bawah syariah.

Syariah bukanlah cara yang simplistik untuk menghukum penjenayah, tetapi seperti yang telah disebutkan di atas, hukum syariah bertujuan untuk mencegah daripada merawat. Juga termasuklah pencegahan dalam pelbagai isu seperti nyawa, makanan, tempat tinggal, pendidikan, kesihatan dan lain-lai yang merupakan sebahagian daripada sistem syariah. Sistem tersebut merupakan sistem yang holistik dalam menyelesaikan masalah mana-mana masyarakat di dunia ini.

Kebajikan masyarakat merupakan aspek utama yang difokuskan oleh syariah, dan jika seseorang itu masih lagi melanggar undang-undang tersebut, maka hukuman yang amat berat menanti. Dalam undang-undang syariah, terdapat 3 kategori utama dalam menentukan hukuman iaitu, Hudud, Ta’zir dan Qisas.

Hudud memerlukan 2 atau 4 orang saksi,(yang adil) yang melihat kejadian tersebut berlaku dengan mata kepala mereka sendiri. Pengakuan seorang saksi itu tidak diterima jika ianya hanya sekadar syak wasangka. Untuk sesuatu jenayah tersebut dilihat oleh sekurang-kurangnya 2 orang saksi, sudah tentu secara logiknya, jenayah tersebut perlu dilakukan di tempat awam. Maka, kita harus faham bahawa hukum hudud mempunyai hukuman yang berat kerana penjenayah tersebut tergamak dan sanggup melakukan jenayah tersebut di tempat awam, dan hukuman tersebut bukannya hanya disebabkan atas sifat jenayah tersebut itu sendiri.

Sebagai contoh, zina di bawah hukum hudud dihukum dengan begitu berat sekali(100 kali sebatan ataupun rejam hingga mati untuk yang telah berkahwin) adalah atas sebab betapa tergamaknya seseorang itu melakukan zina di tempat awam sehingga mencukupi kriteria 4 orang saksi, dan bukannya semata-mata atas sifat dosa zina itu sendiri.

Bagaimana pula jika tidak wujud 4 orang saksi? Maka sistem kehakiman akan mengadili seseorang itu di bawah sistem Ta’zir, iaitu apa-apa jenis undang-undang yang diimplementasikan di mana-mana negara, malah undang-undang British juga boleh termasuk di bawah sistem Ta’zir, cuma tidak terdapat ideologi kebajikan Islam seperti yang dibincangkan di atas.

Bagaimanakah seseorang itu, tanpa mengira agama, bangsa dan kewarganegaraan boleh menentang sistem yang sangat-sangat adil ini? Barangkali terdapat salah faham terhadap sistem undang-undang syariah ataupun tiada orang yang menjelaskan kepada mereka dengan fakta yang benar. Sebuah sistem yang melihat setiap kes secara teliti(mengambil kira konteks kes tersebut) dan bukannya hanya sekadar dinilai atas jenayah apa yang dilakukan. Di manakah lagi kita mampu mencari sistem yang begitu berperikemanusiaan? Hal ini merupakan hak tertinggi manusia yang dapat dilaksanakan.

Wallahu’alam

 

Diterjemahkan oleh: Abid Iqbal

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedintumblrmail

youtube