Falasi Penang Institute

Pada 7 Februari 2016, Wong Chin Huat, salah seorang ahli Penang Institute membuat kenyataan berikut dalam artikelnya di The Malaysian Insider. Seperti mana yang kita sedia maklum, Penang Institute ini merupakan antara penaja terbesar program-program yang dianjurkan oleh G25.

Maka adalah tidak mengejutkan bahawa mereka membuat kenyataan yang bersehaluan dengan pandangan G25. Kenyataannya adalah seperti berikut:

Dalam reaksi kepada imperialisme Barat ini, lahirlah idea “Daulah Islamiyah” (Negara Islam), konsep moden yang tidak wujud dalam Quran ataupun Hadis.[1]

Kita tidak akan membincangkan keseluruhan artikel tersebut tetapi kita ingin menganalisa bahawa adakah dakwaan Encik Wong tersebut dalam frasa “…tidak wujud dalam Quran ataupun Hadis” itu dakwaan yang benar ataupun tidak? Penulis tersebut membuat dakwaan tersebut(secara yakinnya, dengan penggunaan frasa ‘tidak wujud’) terhadap ajaran Nabi Muhammad S.A.W..

Dakwaan ini seolah-olah memberi persepsi bahawa penubuhan negara Islam pertama adalah tidak Islamik dan tidak diiktiraf oleh Nabi S.A.W. sendiri kerana kononnya konsep DI ini tidak wujud dalam Quran mahupun Hadis,(hadis adalah apa2 percakapan mahupun perbuatan Nabi S.A.W.) yang mana juga memberikan tanggapan bahawa jika konsep DI ini tidak wujud dalam Quran dan Hadis, apatah lagi dalam Islam secara keseluruhannya kerana kononnya tiada dalil bagi konsep ini.(Quran dan Hadis merupakan 2 sumber utama dalam Islam tetapi bukannya hanya 2 sumber ini yang dipakai)

Sekiranya dapat dibuktikan bahawa konsep DI ini wujud dalam Quran dan/atau dalam Hadis, maka terdapat 2 kemungkinan, sama ada:

1)Encik Wong tidak tahu dan tidak memahami isu-isu dalam Islam(yang disebutnya) melalui disiplin ilmu yang betul dan bukannya melalui pembacaan dan tafsiran secara literal semata-mata; ataupun

2)Encik Wong tahu sebenarnya konsep DI ini wujud dalam Quran dan dalam Hadis, tetapi berbohong demi mencapai objektifnya.

Oleh kerana Islam mengajar konsep husnu’zon(bersangka baik), maka kami dengan berbesar hatinya akan menjelaskan dan membuktikan bahawa konsep DI ini sememangnya wujud dalam Quran dan dalam Hadis dengan menganggap kemungkinan 1) yang berlaku.

Mari kita lihat kandungan Piagam Madinah ataupun dikenali sebagai Dustur al-Madinah dalam bahasa Arab, yang mana, Madinah merupakan negara Islam(DI) yang pertama.

Dengan nama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Penyayang,

  1. Kaum mukminin yang berasal dari Quraisy dan Yatsrib (Madinah) serta yang bergabung dan berjuang bersama mereka.

  2. Mereka adalah satu umat(masyarakat). [2]

Piagam Madinah adalah perjanjian antara orang Islam dengan rakyat Madinah lain, yang bersetuju untuk menanggotai negara Madinah. Seperti yang tertera di atas, piagam ini menggolongkan semua yang terlibat dalam piagam ini sebagai satu umat(masyarakat). Mari kita lihat isi yang seterusnya,

36. Tidak seorang pun dibenarkan (untuk perang), kecuali dengan izin Muhammad SAW. Ia tidak boleh dihalangi (untuk menuntut pembalasan atas) luka (yang dibuat orang lain). Siapa berbuat jahat (membunuh), maka balasan kejahatan itu akan menimpa diri dan keluarganya, kecuali ia teraniaya. Sesungguhnya Allah sangat membenarkan (ketentuan) ini.

Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan untuk pergi berperang kecuali dengan izin Nabi Muhammad S.A.W., klausa ini secara jelasnya menunjukkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. diberikan kuasa dan diiktiraf sebagai pemimpin.

Walaupun kita boleh bincang tentang klausa-klausa lain dalam piagam ini, tetapi tujuan artikel ini bukannya untuk menerangkan tentang Piagam Madinah tetapi untuk membuktikan bahawa konsep DI ini wujud dalam Islam(juga dalam Quran dan Hadis) yang akan kita bincang sebentar lagi meskipun didakwa sebaliknya oleh Encik Wong Chin Huat.

Malahan dalam Quran, Allah telah berfirman mengenai kewujudan negara Islam(DI). Kita akan lihat tafsir-tafsir Quran mengenai ayat yang disebutkan dan bukannya hanya mengambil makna literal sahaja.

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. [Surah an-Nur 24:55]

Dalam ayat ini, Allah berjanji bahawa orang Islam akan diberikan kuasa dan amanah untuk memerintah di muka bumi ini. Kuasa hanya akan datang melalui pengiktirafan kepimpinan dan apabila orang Islam diberikan kuasa dan amanah, adalah melalui penubuhan DI.(Islamic State)

Istilah DI(Islamic State) dalam artikel ini tidak merujuk kepada kumpulan teroris ISIS, dan dalam ayat tersebut adalah sangat jelas bahawa Allah akan memberikan kekuasaan dan amanah kepada orang Islam untuk memimpin sesebuah negara. Mari kita rujuk beberapa tafsir al-Quran bagi memahami ayat tersebut dengan lebih mendalam lagi.

“Hal ini merupakan janji Allah kepada Rasul-Nya bahawa Dia akan menjadikan orang Islam sebagai khalifah di muka bumi ini, iaitu mereka akan menjadi pemimpin dan pemerintah kepada sekalian manusia, yang mana melalui mereka ini, Allah akan mengubah dunia dan orang ramai akan tunduk kepada-Nya, bahawa orang ramai ini akan merasai keselamatan setelah merasai ketakutan.”[3]

Mari kita lihat tafsir yang seterusnya, secara natijahnya tafsir sebut bahawa(ayat ini) memberi amaran kepada golongan munafik bahawa janji Allah untuk memberikan kekuasaan dan amanah sebagai khalifah bukannya untuk mereka yang sekadar Muslim pada nama mereka, tetapi hanya untuk mereka yang benar imannya,betul-betul soleh, ikhlas dalam pengabdian dan mereka yang mengikuti setiap perintah Allah dan menghindari dari setiap cebisan syirik. Mereka yang tidak mempunyai kualiti seperti yang disebutkan adalah tidak layak untuk mendapatkan janji Allah tersebut. Maka, mereka sepatutnya berhenti mengharap daripada janji Allah tersebut.[4]

Tafsir yang telah ditulis beberapa dekad dahulu telah pun menafikan jenis DI atau Islamic State yang dibawa oleh kumpulan ISIS. Tafsir tersebut menjelaskan bahawa janji Allah dalam Quran tersebut hanyalah untuk Muslim yang mengikut perintah-Nya. Kita dapat lihat bahawa konsep DI ini wujud dalam Quran dan dalam sirah.(sejarah Nabi Muhammad S.A.W.)

Seterusnya, kita akan membincangkan konsep DI dalam hadis-hadis bagi menyangkal dakwaan Encik Wong tersebut. Hadis adalah penting dalam Islam kerana ayat Quran berikut:

Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar), dan ia pula tidak sesat (dengan kepercayaan yang salah). Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri.[Surah An-Najm 53:2-3]

Melalui ayat tersebut, kita tahu bahawa Nabi Muhammad S.A.W. hanya bercakap mengikut apa yang diwahyukan kepada baginda. Mari kita lihat dalam Hadis, adakah wujud konsep DI ini?

Daripada Jabir bin Samura berkata: Aku telah duduk sekali dengan Nabi Muhammad S.A.W. bersama-sama bapaku dan aku mendengar baginda bersabda: “Khalifah ini tidak akan terhenti selagi tidak terdapat 12 orang khalifah antara mereka.” Perawi tersebut berkata: Seterusnya Nabi S.A.W. mengatakan sesuatu yang tidak dapat aku fahami., Aku bertanya kepada bapaku: Apakah yang disebut oleh baginda? Bapaku berkata: Baginda bersabda: “Mereka semua akan berasal dari Quraiysh.” [Sahih Muslim, Jilid 20, Hadis 4477]

Daripada hadis ini kita dapat lihat bahawa Nabi Muhammad S.A.W. menyebut tentang sistem khalifah yang mana membawa makna konsep DI. Jika Nabi Muhammad S.A.W. menyebut perkataan “khalifah” dan Quran juga menyebutnya (seperti yang dibuktikan di atas), bagaimanakah seseorang itu boleh membuat dakwaan bahawa konsep DI ini tidak wujud dalam Quran mahupun Hadis?

Dakwaan sebegini adalah tidak berasas dan merupakan akibat daripada kejahilan sang penulis tersebut. Jika seseorang itu membuat sebarang dakwaan sebegini tanpa bukti, kita boleh membuat kesimpulan bahawa adalah sangat-sangat berkemungkinana bahawa dakwaannya adalah palsu. Seperti yang disebut dalam al-Quran,

“…Katakanlah (wahai Muhammad): “Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar”.[ Surah al-Baqarah 2:111]

Wallahu’alam.

 

Rujukan

[1] Diambil daripada, http://www.themalaysianinsider.com/opinion/wong-chin-huat/article/nasionalisme-muslim-dan-nasionalisme-china 11 Februari 2016

[2] Diambil daripada http://www.dominiopublico.gov.br/download/texto/ll000002.pdf, 11 Februari 2016

[3] Diambil daripada, http://www.qtafsir.com/index.php?option=com_content&task=view&id=2416&Itemid=79, 11 Februari 2016

[4] Diambil daripada, http://www.islamicstudies.info/tafheem.php?sura=24&verse=51&to=57, 11 Februari 2016