Alam Semesta diciptakan dalam masa 6 hari – Betul ke?

Telah disebut banyak kali dalam al-Quran bahawa alam semesta dijadikan dalam masa 6 hari. Dalam Surah al-A’raf:

Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam hari lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam. [7:54]

Dalam Surah al-Qaf:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam hari, dan Kami tidak mengalami sebarang susah payah. [50:38]

Dalam Surah as-Sajadah:

Allah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya dalam enam hari, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat selain dari Allah; oleh itu tidakkah kamu mahu insaf dan mengambil iktibar (untuk mencapai keredaanNya)? [32:4]

Bagaimana alam semesta secara keseluruhannya boleh diciptakan dalam masa 6 hari? Dalam memahami istilah “6 hari” ini kita perlulah lihat semula maksud “hari” dalam al-Quran. Berdasarkan konteks ayat-ayat tersebut, Allah berfirman bahawa Dia telah menciptakan alam semesta dalam masa 6 hari. Maka konteks “hari” dalam ayat-ayat tersebut adalah disandarkan kepada Allah S.W.T, bukannya kepada ciptaan-Nya.

Allah tidak boleh menjadi sebahagian daripada ciptaan-Nya, seperti mana-mana pencipta bukannya menjadi sebahagian dari ciptaan mereka sendiri. Sebagai contoh, jika anda membuat sebiji kek, anda tidak menjadi sebahagian daripada kek tersebut; begitu juga jika anda membina sebuah kereta, anda tidak menjadi sebahagian daripada kereta. Allah tidak wujud dalam alam dimensi ciptaan-Nya. Maka istilah “hari” tersebut tidak merujuk kepada sehari,24 jam yang dialami oleh manusia.

Perkataan “hari” yang disebutkan oleh Allah boleh sahaja bermaksud berbillion-billion tahun mengikut kiraan manusia. Hal ini merupakan satu pemahaman yang lebih baik mengenai istilah “hari” yang digunakan, “6 hari” boleh juga bermaksud alam semesta tercipta dalam 6 tempoh masa atau era. Walau bagaimanapun, panjang pendek tempoh setiap “hari” tidak pula diketahui.

Adalah tidak layak bagi Allah dikongkong oleh alam atau dimensi makhluk yang Dia ciptakan. Setiap ayat al-Quran seharusnya dibaca  dengan konteksnya sekali dan bukannya berdasarkan maksud literalnya sahaja. Kebanyakan kesilapan tafsiran dibuat kerana maksud ayat-ayat tersebut diambil luar dari konteks asal.

Al-Quran hanya boleh difahami dengan sempurna apabila diambil kira konteks ayat-ayat tersebut. Al-Quran menyatakan fakta tentang alam semula jadi dan tidak memerlukan sebarang usaha dari manusia untuk mengesahkan kesahihan kebenarannya. Al-Quran adalah betul seperti yang disebutkan, sebarang bukti dari manusia yang bercanggah dengannya hanya bererti bahawa bukti tersebut mempunyai kesilapan dan lebih banyak kajian perlu dilakukan dalam bidang itu.

Rujukan:
[1]Maududi Ala, tafheemul Quran Surah Fussilat nota 11-16

[2]Qutb Syed, Fizilal Quran tafsir surah Fussilat ms 95-104